dikendalikan oleh   

Kampung Felda Lenga asalnya merupakan sebuah TANAH PINGGIR GSA yang diperjuangkan oleh Allahyarham Orang Kaya Penghulu Lenga iaitu Hj. Abdul Hamid. Tanah ini telah diserahkan kepada FELDA pada tahun 1961 untuk memajukan tanah serta mendirikan rumah untuk peneroka-peneroka Felda. Kemasukkan peneroka-peneroka Felda adalah mengikut peringkat-peringkat, peneroka peringkat 1 telah berpindah dari kampung-kampung berdekatan pada tahun 1963 seramai 132 orang. Pada tahun 1964 seramai 84 peneroka peringkat 2 telah berpindah dari kampung masing-masing untuk memasuki Felda. Setiap peneroka telah diperuntukkan seluas 8 ekar tanah pertanian dan 1/2 ekar tapak rumah. Semua peneroka yang menetap ditanah Felda terlibat dalam bidang penanaman getah dengan hasil pendapatan pada masa itu RM2.50 sehari. Pada masa yang sama juga, Badan JKKR telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Pengurus Felda yang pertama iaitu Tn.Hj. Noh bin Ismail serta ahli jawatankuasa yang terpilih melalui blok-blok yassin sebanyak 7 blok yassin. Perbincangan telah dibuat oleh Ahli Jawatankuasa dan Pengerusi JKKR untuk menukar nama Tanah Pinggir GSA kepada FELDA LENGA, nama ini diambil berikutan Felda ini kelompok yang dipanggil MUKIM LENGA, ia juga diambil atas simbolik Orang Kaya Penghulu Lenga. Pada tahun 1978, Felda telah memajukan lot pertanian tambahan dengan tanaman getah dan diperuntukan sebanyak 2 ekar setiap peneroka. Sehinggalah pada tahun 1987 dikurniakan geran hak milik tanah oleh Kerajaan Negeri johor dengan persetujuan pihak Felda setelah selesai bayaran kembali kos pembangunan tanah dan lain-lain. Pada tahun 2001, kerajaan negeri bersama felda bersetuju menubuhkan JKKK dengan diketuai seorang Ketua Kampung sementara Felda masih berurusan untuk mentadbir kawasan ladang pertanian serta khidmat masyarakat bersama JKKK dan badan-badan sokongan yang lain dengan diketuai oleh pengurus. Pengurus Kampung Felda pada masa ini ialah En. Khairul Azwan Bin Aris.

PROFIL MUKIM


KELUASAN:
71.040 Ekar
111 BATU PERSEGI
28,749 HEKTAR

Bilangan Penduduk:
12,450 orang

Bangsa:
Melayu (8,000 orang),
Cina (4,000 orang),
India (100 orang) &
lain-lain (350 orang)

Penghulu:
En. Azhari Bin Bidin

Alamat Penghulu:
Kompleks Penghulu Mukim Lenga, Lenga 84040 Muar.

Populasi

Penduduk yang menetap di kampung Felda Lenga adalah 100% Melayu yang dianggarkan berjumlah 1,100 orang. Kebanyakan kawasan penempatan di kampung ini dibina. Amalan bergotong-royong memang diterapkan didalam masyarakat Felda ini terutamanya ketika kenduri kahwin mahupun ketika aktiviti membersihkan kawasan perkuburan, masjid dan kawasan sekitar kampung. Aktiviti seperti ini juga menyumbang ke arah pembangunan di samping mengeratkan hubungan sesama penduduk setempat.

Ahli Politik

Yang Berhormat, Dr. Sahruddin Bin Jamal

Adun Bukit Kepong Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar & Pertanian Negeri Johor

MPPK

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Felda Lenga berperanan dalam memastikan kestabilan penduduk dan kemajuan kampung sentiasa terjamin. Pihak MPKK akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai perkembangan kampung dan merancang aktiviti-aktiviti kampung. Malah, matlamat MPKK adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung supaya boleh bersaing dengan penduduk bandar dan berusaha untuk meningkatkan keyakinan diri serta mencuba sesuatu yang baru dan boleh menguntungkan. Pihak MPKK juga berperanan mengatur program-program kecil yang memberikan banyak faedah kepada penduduk dan kepentingan kampung termasuklah program untuk belia kampung dengan menghantar mereka menyertai kursus keusahawanan anjuran pelbagai pihak.Selain itu, aktiviti yang dianjurkan oleh pihak MPKK dengan penduduk kampung adalah kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. Sekiranya ada sebarang majlis keramaian, penduduk akan sama-sama menyumbangkan tenaga agar semuanya berjalan dengan lancar.
PENASIHAT

En Azhari Bin Bidin
(Penghulu Mukim Lenga)

PENGERUSI MPKK

Tuan Haji Mohd Nor Bin Suparman
(Ketua Kampung)

PENGURUS FELDA LENGA

Encik Khairul Azwan Bin Aris